Thursday, November 1, 2012

PENCEMARAN DAN KESANNYA TERHADAP BUMI

PENCEMARAN
Takrifan pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras sinaran mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan keguanaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan.
JENIS - JENIS PENCEMARAN
Terdapat beberapa bentuk pencemaran yang boleh mengancam kehidupan bumi.  Antaranya adalah:
1. Pencemaran udara iaitu pembebasan bahan kimia berbahaya atau benda asing lain ke dalam atmosfera.  
2. Pencemaran air seperti kebocoran dan pembuangan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomena eutrofikasi, hingga mengubah kandungan, keadaan dan warnanya sama ada dari segi biologi, kimia atau fizik.
3. Pencemaran tanih/tanah iaitu peresapan bahan kimia bahaya seperti logam berat, hidrokarbon dan racun serangga ke dalam tanih, sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan.
4. Pencemaran radioaktif iaitu pelepasan bahan radioaktif ke dalam alam sekeliling.
 
 
5. Pencemaran bunyi yang disebabkan hingar jalan raya, pesawat dan industri, biasanya melebihi 80 dB.
6. Pencemaran cahaya yang disebabkan penyinaran (iluminasi) lebihan, lazimnya di bandar besar.
7. Pencemaran terma iaitu perubahan suhu akibat kegiatan manusia, seperti penggunaan air sebagai bahan pendingin dalam jana kuasa elektrik.
8. Pencemaran Visual iaitu pemusnahan alam fizikal dan penghakisan keindahan alam. Ia termasuk sampah terbiar dan papan iklan.
Cara berlaku pencemaran boleh dibahagikan kepada dua iaitu 
i. Pencemaran oleh faktor semula jadi, seperti akibat bencana alam
ii. Pencemaran oleh faktor manusia. Pencemaran ini juga disebabkan sikap segelintir golongan manusia yang tidak mempunyai sikap bertanggungjawab mahupun cinta akan negara.
 
 
1. PENCEMARAN UDARA
Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan pengenalan sebarang bahan kimia, jirim zarahan atau bahan biologi yang boleh menyebabkan mudarat atau ketidakselesaan kepada manusia atau organisma hidup lain, atau merosakkan alam sekitar, ke dalam dalam atmosfera. Contoh pencemar udara ialah seperti gas karbon dioksida, sulfur dioksida, kloroflorokarbon, bau - bauan, logam toksik seperti plumbum dan tembaga dan sisa radioaktif.
Pencemaran udara antaranya berpunca dari pelepasan asap kotor oleh industri terus ke udara melalui cerobong asap kilang, kenderaan motor di jalan raya dan letusan gunung berapi. Antara kesan pencemaran udara adalah penipisan lapisan ozon, jerebu, hujan asid dan pemanasan bumi. Pencemaran udara mungkin boleh memberi kesan terhadap kesihatan, keselamatan dan keselesaan manusia ataupun harta benda.
PENGKLASIFIKASIAN PENCEMARAN UDARA
Pencemaran udara diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu pencemaran primer dan pencemaran sekunder.

Pencemaran primer

Pencemaran primer ialah pencemaran yang dihasilkan sulfur monoksida dan karbon monoksida  hasil daripada pembakaran tidak lengkap. Ia menyebabkan zarah-zarah halus terampai di udara.
Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar, dan penggunaan dapur arang kayu yang tidak terkawal

Pencemaran sekunder

Pencemaran sekunder adalah berpunca hasil daripada tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dengan wap - wap di udara.
 

Kesan

Kesihatan manusia

Kesan utama pencemaran udara kepada manusia adalah sistem pernafasan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah akan melambatkan tindak balas manusia dan kesan seterusnya menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru - paru.  Bahan tercemar seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonary. Bahan tercemar seperti gas ozon boleh menimbulkan kerengsaan menyebabkan inflamasi paru-paru dan keupayaan bergerak. Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan mata manusia.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Ia adalah tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan kenderaan. 

Tumbuhan

Kesan kepada tumbuhan adalah seperti mengalami kerosakan seperti nekrosis (keguguran daun), klorosis (pertukaran warna), dan pertumbuhan terbantut.
Kesan ini akan menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk juga terganggu.Selain itu, kesan ini akan mengganggu keseimbangan ekosistem.

Haiwan

Haiwan akan terancam atau mati akibat dari pencemaran udara. Ini disebabkan dari udara yang memasuki paru-paru haiwan dan makanan dari sumber tumbuhan yang tercemar kesan pencemaran udara.

 Bahan

Kesan kepada bahan adalah kerosakan berlaku akibat pencemaran udara seperti kekotoran pada pakaian, pencemaran pada permukaan dinding bangunan dan sebagainya. Ia berlaku akibat dari pengenapan asap atau zarah halus.
Hakisan logam juga merupakan kesan dari pencemaran udara akibat kehadiran sulfur dioksida di dalam udara.
 

Penyusutan lapisan ozon

Pencemaran udara akan menyebabkan berlaku pemanasan global akibat penyusutan lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran terus cahaya matahari. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairan kepada ais di bahagian kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.

Hujan asid

Hujan asid berlaku disebabkan oleh penggabungan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini akan terkumpul di dalam awan dan bergerak ke tempat-tempat lain. Asid tersebut akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Kesannya, ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

Kesan rumah hijau dan pemanasan global

Kesan yang paling ketara dan sedang hangat dibincangkan oleh seluruh negara kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida dan terkumpul di dalam udara.
Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesanya adalah permukaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.

Atmosfera

Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan akibat jerebu.

 
Air merupakan sumber penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Manusia memerlukan air untuk menjalankan aktiviti harian seperti pertanian, perikanan, perindustrian, pengangkuatan dan sebagainya. Namun, air semakin hari semakian tercemar lantaran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran air didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekitar yang melepaskan, mengeluarkan, atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya dan memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam, atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air. 
 
PUNCA-PUNCA PENCEMARAN AIR
Punca utama pencemaran air ialah pembuangan sampah dari kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut. Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak, dan najis secara tidak terkawal akan menyebabkan sifat air berubah dan seterusnya membawa kepada pencemaran. Sebagai contoh, Sungai Semenyih antara sungai yang tercemar disebabkan oleh najis babi sekitar tahun 1980-an. Sungai yang tercemar ini akan mengalir ke laut dan seterusnya membawa kepada pencemaran laut.
Selain itu, sikap segelintir pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik ke dalam sungai atau laut juga mendorong kepada pencemaran air. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Kajian menunjukkan terdapat beberapa buah negara maju memasukkan sisa radioaktif ke dalam tong dram sebelum membuangnya kedalam laut.
 
Pertumpahan minyak yang berlaku disebabkan oleh pelanggaran kapal turut mendorong kepada pencemaran air. Minyak yang mengalir ke laut akibat kebocoran tangki minyak akan menutupi lapisan air dan menyebabkan belakunya pencemaran laut. Sebagai contoh, pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga 3 yang membawa 61 858 tan metrik minyak mentah telah menyebabkan berlakunya pertumpahan minyak berhampiran Tanjung Ayam.
 
KESAN PENCEMARAN AIR
Pencemaran air akan memberi kesan kepada kesihatan menusia. Air yang tercemar mengandungi bahan kimia seperti sodium, nitrat, merkuri dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia. Contohnya, sodium memberi implikasi kepada jantung, manakala merkuri dan plumbum pula boleh menyebabkan masalah saraf. Terdapat pelbagai penyakit yang berjangkit melalui air minuman dan air mandian seperti disentri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis.
Tumpahan minyak yang berlaku di kawasan perairan akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam organisma laut. Tumpahan tersebut akan menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan laut seperti ikan, siput, udang dan ketam akan mati disebabkan oleh pembuangan sampah dan sisa toksik yang telah mengakibat pencamaran air yang merupakan habitat hidupan laut. Hal ini akan mendorong kepada kepupusan hidupan laut.
Pencemaran air juga memberi kesan kepada tanah basah. Tanah basah menyediakan habitat kepada banyak organisma hidup dan spesies tumbuhan. Apabila fosforus daripada pencemaran bahan kimia ditambah dalam sistem air, rumpai air akan tumbuh dengan banyak.. Dengan peningkatan fosforus, ianya akan menyebabkan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang.
 
LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR
Media massa dan media elektronik memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan sungai Kempen kesedaran perlu diadakan melalui televisyen, akhbar dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan air dalam kehidupan seharian. Dengan penganjuran kempen-kempen ini diharap dapat memupuk sikap cintakanalam sekitar.
Selain itu, pihak kerajaan juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang. Manakala, Undang-undang sedia ada perlu diperketatkan lagi supaya pesalah mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Contonya, pihak-pihak yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai, sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan sekitar satu atau dua kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
Kesimpulannya, sebagai makhluk Allah yang dikurniakan akal fikiran, kita tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri sebaliknya kita perlu menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta bagi memastikan harapan dan impian negara dapat di capai.
 
 http://pencemaran-pencemaran.blogspot.com/2010/08/pencemaran-air.html
 
 
 

No comments:

Post a Comment