Monday, October 29, 2012

PERKEMBANGAN PROFESIONAL

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Kepentingan mencari ilmu turut ditegaskan dalam setiap agama.  Bagi agama Islam, hal tersebut jelas melalui sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan menunjukkan jalan yang perlu ditempuhinya untuk menuju Syurga."

Pembelajaran sepanjang hayat bermaksud motivasi kendiri ke arah pencarian dan peningkatan ilmu secara sukarela berdasarkan keperluan personal ataupun profesional.

PELAN PEMBELAJARAN PERIBADI

Guru ialah contoh dan role model paling dekat dengan murid, maka belajar bagaimana belajar (learn how to learn) perlu dipaparkan melalui perlakuan dan tindakan guru sendiri.

Antara pelan pembelajaran pembelajaran peribadi yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:

i. Pembelajaran di Rumah
ii. Pendidikan Dewasa
iii. Pendidikan Berterusan
iv. Pengetahuan Pekerja
v. Persekitaran Pembelajaran Kendiri (PPK)

Pada masa sekarang terdapat beberapa program pendidikan yang boleh berlangsung di rumah, antaranya pembelajaran melalui talian atau dikenali sebagai online learning (OLL) merupakan satu pendekatan yang membolehkan seseorang meneruskan pengajian tanpa perlu berada di kolej atau universiti untuk berinteraksi secara bersemuka dengan guru atau pensyarah.

Peluang meningkatkan ilmu turut berlaku di tempat - tempat kerja yang kerap dirujuk sebagai Latihan Pembangunan Staf (LPS) untuk meningkatkan tahap kecekapan dan kompetensi dalam kerjaya masing - masing.  

Pendidikan berterusan lebih bertumpu pada usaha seseorang untuk menyambung pengajiannya di sesebuah kolej atau universiti untuk memperoleh sijil, diploma atau ijazah lanjutan sama ada secara sepenuh masa atau secara sambilan.

Sebagai seorang guru, perlulah menerokai bidang kerja mereka yang berkaitan dengan pengetahuan pedagogi (pedagogical content knowledge), kandungan mata pelajaran (subject content knowledge), psikologi murid dan perkara - perkara yang melibatkan pengurusan bilik darjah.

Oleh itu, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat menerusi PPK adalah sesuatu yang baharu dan selaras dengan konsep e- learning yang diperkenalkan.  

Untuk memperhebatkan lagi konteks pembelajaran sepanjang hayat ini dilaksanakan, pelbagai penekanan yang telah dilakukan antaranya adalah:

a. Budaya Membaca

Mantan Perdana Menteri Malaysia keempat (Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed) menyeru agar guru - guru mengamalkan budaya membaca bagi memastikan mereka sentiasa mengemaskinikan ilmu pengetahuan mereka memandangkan peranan mereka sebagai pendidik dan role model kepada murid di sekolah.

Islam sendiri juga menekankan amalan membaca melalui surah al - Alaq ayat ke-19 yang bermaksud:

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (tulis baca), Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Maka, guru di Malaysia patut bangun menggilap imej guru Malaysia melalui pembacaan bagi memastikan guru tidak terpinggir daripada kelompok profesional yang lain.

b. Budaya Menyelidik

Jenis penyelidikan yang sesuai bagi kalangan guru adalah Penyelidikan Tindakan (PT).

PT ialah suatu pusingan (spiral) yang terdiri daripada perancangan, tindakan, penilaian terhadap tindakan.

Anatra kepentingan melaksanakan PT ini adalah seperti berikut:

i. Memfokus kepada suatu kajian yang lebih spesifik tentang salah satu aspek dalam pengajaran yang juga merupakan aspek yang anda beri perhatian.
ii. Menggalakkan buday kolaborasi dengan pihak lain di mana anda sebagai pensyarah/guru terlibat secara peribadi sebagai peserta kajian ini dan mungkin melaksanakan kajian secara individu di mana murid - murid anda atau rakan - rakan sekerja anda sebagai pemberi maklumat ke atas tindakan yang anda ambil.
iii. Pendokumentasian dan buktis sesuatu penyataan dapat dilakukan melalui penyelidikan tindakan.
iv. Mendorong kepada budaya reflektif yang membentuk diri yang berpemikiran dan bersikap terbuka, mampu menerima dan mengaku kelemahan dan bersedia memperbaiki dan berubah, malahan mampu menambah baik amalan kendiri.
v. Ia juga memberikan peluang untuk nilai tambah dan peningkatan profesionalisme guru.


c. Amalan Reflektif

Berfikiran reflektif merupakan amalan berfikir atau merenung kembali sesuatu pengalaman yang kita alami dan menyedari implikasinya terhadap diri kita.

Budaya ini bagi kalangan guru mampu untuk membantu guru mengimbangkan kepercayaan kita dengan keperluan pelajar. Apabila kita membuat refleksi, kita menjadi lebih sedar dan kritis mengenai amalan kita sendiri dan dengan ini sesuatu pengajaran mampu dipertingkatkan. 

Pengajaran reflektif adalah penting kerana pengajaran ini membolehkan kita memahami pengalaman praktik tanpa mengetepikan hakikat bahawa terdapat nilai, andaian, kepercayaan dan perspektif kendiri yang mempengaruhi kedua - dua amalan dan bagaimana amalan itu dialami.

Schon (1993) berpendapat bahawa amalan reflektif ialah proses belajar pada peringkat tinggi yang melibatkan pemikiran tentang pembelajaran berasaskan amalan untuk mendapat perspektif baharu untuk memperbaharui pertimbangan dan meningkat inkuiri sehingga menjadi suatu himpunan.

Kepentingan amalan ini adalah membantu dalam mengimbangi antara pengalaman sendiri dengan orang lain, suatu elemen dalam Penyelidikan Tindakan, memudahkan perbincangan dilakukan, suatu pembelajaran kendiri dan sebagai penilaian terhadap amalan kendiri.

Antara jenis - jenis amalan reflektif adalah seperti berikut:
i. Amalan reflektif semerta (Reflection in Action)
ii. Amalan reflektif ke atas tindakan (Reflection on Action)
iii. Amalan reflektif untuk tindakan (Reflection for Action)

Manakala proses pengajaran reflektif pula berlaku dalam dua cara iaitu penulisan jurnal refleksi dan pengurusan portfolio.

Penulisan jurnal refleksi merupakan salah satu aktiviti yang menggalakkan pemikiran reflektif dalam kalangan pelajar dan guru.  Tindakan susulan dalam pengajaran reflektif  adalah apabila guru yang terlibat dalam amalan reflektif berasa puas dengan peranan yang dimainkan dalam menangani masalah pengurusan bilik darjah dan P&P.

Pengurusan portfolio pula adalah menjadi suatu alat yang menggalakkan pelajar menjana pengetahuan dan kemahiran serta merangsang pemikiran terhadap tugas mereka dalam pengajaran.  Bagi Wolf (1996), portfolio pengajaran ialah satu koleksi maklumat mengenai amalan pengajaran seseorang guru yang terdiri daripada rancangan pengajaran, tugasan pelajar, rakaman video dan bahan - bahan lain yang berkaitan dalam P&P. 


d. Kolaborasi dan Musyawarah

Kolaborasi didefinisikan sebagai bekerja dengan orang lain dalam projek bersama yang tidak mempunyai matlamat yang sama hendak dicapai.

Musyawarah ialah rundingan yang berlangsung dan mencapai kata sepakat atau persetujuan terhadap sesuatu tindakan yang diambil.

Kepentingan kolaborasi ini adalah kerana melalui kajian mendapati bahawa guru boleh berkembang secara profesional melaluinya. (Lieberman, 1986a, 1986b; Hopkins et all.,1994).

Lieberman juga menekan bahawa sesebuah sekolah akan lebih berjaya untuk guru dan muridnya sekiranya guru bekerja secara kolaboratif untuk menyelesaikan masalah,dan diberi kuasa autonomi yang maksimum untuk menjalankan kerja mereka. Di mana kepakaran dalam pengajaran lahir daripada proses perkongsian, mencuba idea - idea baharu, membuat refleksi ke atas amalan dan membina pendekatan - pendekatan baharu.  

Antara elemen kolaborasi ini adalah:
i. Hubungan kerja berterusan
ii. Kepercayaan dan sukarela
iii. Peningkatan kemahiran dan daya usaha berterusan
iv. Bekerjasama untuk perkembangan
v. Penghargaan secara langsung.

Cara - cara guru berkolaborasi pula adalah:
i. Pengajaran berpasukam
ii. kolaborasi melalui Kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
iii. Kolaborasi antara organisasi/institutsi/agensi

Rumusannya, musyawarah dan kolaborasi perlu dijadikan amalan oleh para guru dalam menentukan sesuatu keputusan bersama - sama demi perolehi hasil yang cemerlang.


e. Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP)

Kursus dalam perkhidmatan memberi fokus kepada peningkatan ilmu dan kemahiran guru terutama dalam pengurusan pembestarian sekolah, sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurusan kokurikulum, transformasi kurikulum, pentaksiran dan penilaian, di samping latihan pedagogi terkini dan mastery learning.  


f. Pembelajaran Autentik

Pembelajaran autentik ialah pembelajaran berteraskan aktiviti dalam suasana sebenar yang membolehkan seseorang pelajar menumpukan pada pengetahuan dan kemahiran seperti kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah.

g. Akses Maklumat Daripada Pelbagai Sumber

Perkembangan pesat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memberikan peluang kepada setiap individu menguasai pelbagai maklumat.  Sehubungan itu, peranan guru lebih bertumpu pada peranan sebagai seorang fasilitator dan oleh kerana itu guru perlu memperlengkapkan diri dengan maklumat dan kemahiran terkini.  Antara sumbernya adalah:

i. Program Adobe (pembelajaran interaktif dan sebagainya lagi)
ii. Program ERIC (rujukan pelbagai sumber seperti jurnal..dll).
iii. E- Pembelajaran (Pembelajaran Elektronik seperti Pengajaran Berasaskan Web)
iv. E- Perpustakaan, E- Buku dan E- Jurnal ( Kemudahan elektronik dan capaian mudah)


Kesimpulannya, sebagai seorang pendidik kita haruslah sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kita dari semasa ke semasa sejajar dengan peredaran zaman. 

 

No comments:

Post a Comment